HALAMAN ILMIAH
1.1
Definisi
Kesusasteraan
Kesusasteraan
Melayu dalam konteks pendidikan ialah karya asal yang tertulis dalam bahasa
Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan, sama ada dalam bentuk novel,
cerpen, drama, sajak, prosa tradisional, atau puisi tradisional bagi
mengimbangi perkembangan intelek, rohani, emosi, dan jasmani, di samping
memaparkan nilai kemanusiaan serta citra masyarakat. Kurikulum Kesusasteraan
Melayu Sekolah Menengah digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil
Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil pembelajaran ini berteraskan
kepada aspek sastera melalui teks yang dikaji serta disepadukan dengan elemen
perisian kurikulum. Apresiasi karya sastera dilaksanakan melalui kajian teks
berdasarkan aspek sastera, iaitu tema dan persoalan, watak dan perwatakan,
plot, latar, gaya bahasa, bentuk, nada, sudut pandangan, nilai kemanusiaan, dan
pengajaran. Kajian teks ini meliputi bidang prosa dan puisi, iaitu terbahagi
kepada prosa moden dan prosa tradisional. Prosa moden pula terdiri daripada
genre novel, cerpen, dan drama. Puisi tradisional pula meliputi pantun, syair,
gurindam, dan seloka berbanding puisi moden yang hanya ada sajak.
Terdapat pelbagai definisi dalam
usaha memberi makna kepada kata ‘kesusasteraan’. Perkataan ‘sastera’ dikatakan
berasal daripada bahasa Sanskrit castra
yang bermaksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala
penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan
pembacaan, mahupun melalui lisan dan pendengaran (Harun Mat Piah et. Al, 2006).
Sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat
kreatif (Ismail Hussein, 1998). Hal ini turut ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997)
yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan
gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik. Sabaruddin Ahmad (1963) merujuk
kesusasteraan sebagai manifestasi daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam
pernyataan bahasa. Pada hakikatnya, kesusasteraan atau seni bahasa itu ialah
bingkisan yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat.
Seterusnya, Hashim Awang
menyimpulkan erti ‘kesusasteraan’ sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui
bahasa. Namun demikian, bagi mengelakkan kekusutan, maksud perkataan itu
diberikan etimologi, yakni kajian asal-usul bahasa. Kesusasteraan berasal
daripada cantuman kata ‘su’ dan ‘sastra’ dalam bahasa Sanskrit. Kemudian
diberi apitan ‘ke-…-an’ untuk membentuk kata nama. Makna-maknanya adalah
seperti berikut:
i.
Su – Baik, indah, cantik, seni, dan
berfaedah.
ii.
Sastra – Karya(lisan/bertulis) atau
buku.
iii.
Susastra – Karya yang indah dan berguna.
iv.
Kesusasteraan – Semua bentuk karya
bernilai seni dan berguna.
Berdasarkan
huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan
kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ditujukan kepada
khalayak, iaitu terdiri daripada pembaca bagi karya yang bertulis atau penonton
drama. Oleh sebab itu, istilah Kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya
yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan
ialah karya asal yang tertulis dalam Bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan
kehalusan sama ada berbentuk cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi
tradisional bagi mengimbangi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, di samping memaparkan
nilai kemanusiaan dan citra masyarakat.
Kesusasteraan Melayu mempunyai seni
bahasa yang indah dan tersusun, di samping memberi kesan penghayatan kepada
pembaca. Selain daripada itu, sastera turut mengandungi unsur tersurat dan
tersirat. Sastera tidak terhasil dengan kekosongan (Arba’ie, 2008). Sebaliknya
ia terhasil atas dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang
terdapat di persekitaran. Penafsiran pembaca yang berencam mengundang pembaca
memikirkan mesej yang ingin disampaikan penulis melalui karya tersebut. Namun
begitu, tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang tersirat
kerana wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan. Oleh
itu, dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan dapat dirujuk sebagai hasil karya
yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu. Setiap karya mempunyai mesej dan
fungsi untuk mendidik dan membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap
bahagian daripada unsur dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya
selain berfungsi dalam kehidupan masyarakat.
1.2
Definisi
Modal Insan
Menurut
Kamus Dewan, ‘modal’ bermaksud
sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Pengertian modal
yang lain ialah wang atau harta benda yang digunakan sebagai dasar atau asas
berniaga atau asas untuk menghasilkan sesuatu yang menambah kekayaan. Sementara
itu, ‘insan’ pula merujuk kepada
makhluk yang diciptakan oleh Tuhan atau didefinisikan sebagai manusia. Gabungan
perkataan modal dan insan ini membentuk perkataan ’modal insan’, merupakan sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk
pengembangan atau mencapai sesuatu yang dihajati oleh manusia. Modal insan bukan sekadar mempunyai ilmu
pengetahuan dalam pelbagai bidang, tetapi ia mencakupi aspek peribadi serta
ketinggian akhlak yang perlu ada pada seseorang itu. Selain itu, modal insan
juga dikatakan sebagai individu yang mempunyai jati diri yang kukuh,
berperibadi mulia, berpengetahuan, serta berkemahiran tinggi, di samping
berkemampuan berfikir secara kreatif dan kritis.
Menurut
Kamus Za’ba pula, modal didefinisikan
kelebihan yang dimiliki (kecantikan, kepintaran, kekayaan dan lain-lain)
yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati manakala insan pula
didefinisikan sebagai manusia. Menurut Khairul Rizal Ramli (2006) modal manusia
adalah terjemahan secara mudah yang diberikan kepada istilah human capital.
Istilah modal insan (human capital) banyak dibincangkan oleh sarjana-sarjana
pengurusan antaranya ialah Arthur Cencil Piguo, Jacob Mincer dan Gary Becker di
mana idea dan konsep mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) yang mengambil
konsep “kuasa pekerja” atau labour
power. Bagi definisi Barat, secara umumnya modal insan didefinisikan sebagai
satu cara untuk mengenal dan mengkategorikan kemahiran dan kebolehan orang yang
diguna dalam pengambilan kerja yang mampu memberi sumbangan kepada negara.
Terdapat
pelbagai definisi yang ditulis oleh para cendekiawan dalam menerangkan maksud
modal insan. Menurut satu petikan di dalam buku Rasmi Tahunan Malaysia 2006
oleh Jabatan Penerangan Malaysia, modal insan merupakan individu yang berilmu,
berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi
pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat,
bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Modal insan
juga merujuk kepada insan iaitu ciptaan Allah S.W.T yang mempunyai merupakan
gabungan empat unsur iaitu roh, jasad, akal dan emosi. Keempat-empat unsur ini
perlu dijaga, dibentuk dan dikekalkan untuk melahirkan modal insan yang
sempurna (Aidit, 2008). Pembangunan modal insan juga merupakan suatu proses
bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Hal ini demikian kerana,
ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi
lumpuh (Ismahali, 2008). Di samping itu, pembangunan modal insan juga adalah
pembangunan yang penuh dengan keinsanannya. Ia harus dilengkapi dengan
pembangunan jiwa, hati dan nurani bagi melahirkan insan yang ada sifat
keinsanannya (Fauziah, 2008). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa modal insan
merujuk kepada individu atau manusia yang boleh dibentuk dan dibangunkan untuk
manfaat diri, masyarakat dan negara.
Sementara itu, berdasarkan
perspektif Islam pula, banyak ayat al-Quran yang membicarakan insan yang baik
di sisi Allah. Dua ayat yang diambil sebagai contoh, pertama ayat 13 Surah
al-Hujarat yang bermaksud:
“Hai
manusia, sesuangguhnya kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan dan
kami jadikan kamu bangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui lagi dalam pengetahuannya.”
Ayat
kedua dari Surah Ali-Imran ayat 112 yang bermaksud:
“Mereka
itu ditimpa kehinaan di mana mereka berada, kecuali dengan tali(agama) dari
Allah dan tali(perdamaian) dari manusia.”
Kedua-dua
ayat ini menyatakan bahawa manusia yang baik itu terbahagi kepada dua, iaitu:
i. Insan yang bertakwa, iaitu insan yang
patuh ajaran dan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
ii. Insan yang mempunyai hubungan baik
sesama manusia tanpa mengira agama, keturunan, dan warna kulit. Dua ayat
tersebut boleh dijadikan landasan ciri-ciri insan yang boleh dijadikan contoh
modal insan sempurna.
Zulkiflee
Haron et. Al (2006) memberikan lima ciri insan yang sempurna untuk diteladani
daripada para Rasul, iaitu:
1. Berfungsi sebagai abid dan khalifah
Allah SWT.
2. Manusia perlu menjaga kemuliaan dan
menjadi contoh untuk manusia lain.
3. Menggunakan keupayaan sebagai cara dalam
proses menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
4. Mengambil pedoman daripada perlanggaran
ajaran Rasul serta melakukan kerosakan sebagai sebab untuk mendapat balasan
Allah SWT.
5. Pembangunan insan memiliki ciri-ciri
muttaqin, syakirin, mukminin dan ikhlas.
Oleh
itu, dapatlah dikatakan bahawa perspektif Islam menekankan pembangunan modal
insan, ilmu agama dan cara hidup Muslim itu perlu dititikberatkan. Walaupun
seseorang itu mempunyai ilmu duniawi yang unggul, namun pegangan agama perlu
kuat supaya semuanya akan menjadi tenaga kerja yang baik dan diterima oleh
Islam. Pembinaan insan yang tepat dan betul akan membantu sesebuah negara
melahirkan masyarakat yang dapat menentukan kejayaan masa depan negara
tersebut. Sehubungan itu, sastera dikatakan dapat memupuk modal insan melalui
karya-karyanya yang turut diselitkan nilai-nilai murni dalam kemasyarakatan. Oleh
itu, dalam tugasan kumpulan kali ini, kami sepakat memilih dua cerpen daripada
antologi setiap tingkatan seperti Antologi Kasut Kelopak Jantung, Antologi Gema
Sepi Gadis Genius, Antologi Harga Sebuah Lukisan, Antologi Harga Remaja, dan
Antologi Dirgahayu Bahasaku. Walau bagaimanapun, tugasan kami ini dikhususkan
kepada pelajar-pelajar sekolah menengah untuk dijadikan sebagai rujukan
sampingan.
2.0
ANALISIS
2.1
Kepentingan
Modal Insan Dalam Pendidikan
Menurut
Abu Bakar dan Ikhsan (2003) pendidikan memainkan peranan utama dalam
memperkembang potensi individu. Setiap potensi individu boleh berkembang ke
tahap cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pendidikan mampu melahirkan
individu berilmu, mulia, berbudi pekerti yang tinggi, sopan, bertangggungjawab,
berketerampilan, dan sebagainya secara umumnya bersifat positif. Pertumbuhan
dan perkembangan yang berlaku hasil daripada proses pendidikan melibatkan
intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Kepentingan pendidikan dalam
pembangunan modal insan turut juga diulas oleh Prof. Madya Dr. Hailani Muji
Tahir (2008). Menurut beliau, pembangunan modal insan dapat dicapai melalui
aspek pendidikan dan tarbiyyah adalah pendidikan tidak formal (informal) namun
sifatnya berkesinambungan. Pendidikan secara formal adalah berbentuk pengajaran
di sekolah sama ada yang ditawarkan oleh pihak kerajaan atau swasta. Misalnya,
pendidikan awal di Tadika Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Sekolah Rendah Kebangsaan
(SRK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan institusi-institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS). Selain itu, latihan juga tergolong dalam
kategori pendidikan, misalnya agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat
(MARA). Konsep latihan amat popular dalam program-program pembangunan modal
insan dan organisasi. Menurut Mondy (2008), latihan adalah jantung kepada usaha
organisasi. Manakal, menurut Aziz (2004), latihan adalah satu usaha berterusan
untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan menumpukan perhatian kepada
aspek-aspek yang berkaitan dengan persekitaran kerja untuk faedah bersama,
pekerja dan organisasi. Gabungan antara pendidikan formal dan tidak formal ini
akan mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi
ilmu dan pengetahuan tetapi juga mempunyai sikap dan sahsiah yang mulia.
Berdasarkan pendapat tokoh-tokoh
ilmuan tersebut, dapat disimpulkan bahawa pentingnya aspek pendidikan untuk
membangunkan seorang manusia. Benarlah satu hadis Rasulullah s.a.w yang
menekankan tentang kepentingan pendidikan untuk membangunkan modal insan.
“sesiapa
yang indin mencapai dunia, maka hendaklah mempunyai ilmu dan sesiapa yang ingin
mencapai akhirat maka hendaklah juga mempunyai ilmu dan sesiapa yang
menghendaki kedua-duanya sekali juga perlulah mempunyai ilmu.”
Menurut
Sabri (2008), program pendidikan akan memberikan penekanan tentang peningkatan
ilmu dan kemahiran, perubahan sikap dan sahsiah serta pelaksanaan amalan secara
efektif dan berterusan. Dengan adanya ilmu akan lahirlah sikap positif, emosi
yang stabil dan seterusnya terbentuklah amalan istiqamah yang efektif dalam
diri individu.
2.2
Peranan
Sastera Dalam Pembinaan Modal Insan
Mata
pelajaran kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957.
Matlamatnya adalah untuk membolahkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya
menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan,
kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta
akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan
Melayu dapat mencerminkan masyarakat yang berminda kreatif, mampu mengkaji
keindahan karya sastera dan membina modal insan yang cemerlang.
Peranan sastera terutamanya sastera
Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan
dengan konsep membina ‘modal insan’
yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu
bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika
bertindak. Apa yang dapat dilihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang
sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin
yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai kemanusiaan. Akibat daripada
itu, amalan rasuah, keruntuhan moral, sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan
menyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat
kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera. Di peringkat sekolah
Kesusasteraan Melayu memainkan peranan sebagai satu cabang ilmu dan senjata
yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan
konsep Bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi
pelajar didedahkan dengan teknik
penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan
pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan
Bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.
2.3
Ciri-ciri
Individu yang Cemerlang / Modal Insan
Negara
perlu memiliki ramai individu yang cemerlang untuk mencapai negara maju dan
Wawasan 2020. Individu yang cemerlang mampu memajukan diri, keluarga dan negara
dengan bijaksana. Menurut Hassan Ahmad dalam Azhar Hj. Wahid (2012), menyatakan
bahawa untuk melahirkan pelajar bestari, bukan komputer, bukan mesin, bahkan
bukan buku teks yang selalunya tidak menggalakan pemikiran dan kreativiti juga
tidak perlu, Guru bestari bererti guru yang mencintai ilmu, guru yang mempunyai
tabiat suka membaca, guru yang kreatif dan mampu mengasuh pelajar supaya
mencintai ilmu dan suka membaca.
Menurut
Chua Hian Chong (2012), dalam antara ciri individu yang cemerlang ialah
memiliki sahsiah yang terpuji. Individu yang memiliki sahsiah terpuji boleh
mengelakkan diri daripada terlibat dengan
gejala negatif yang boleh merugikan diri, keluarga dan negara. Rakyat
yang bersahsiah tinggi pula dapat membezakan sesuatu perkara yang baik dengan
yang buruk atau bertindak dengan bijaksana. Selain itu, seorang individu yang
cemerlang juga harus memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Pencapaian
akademik yang cemerlang akan menjamin masa depan yang cerah kerana dapat
menjawat jawatan yang tinggi dan mendapat pekerjaan yang baik. Seseorang
individu juga mampu bertindak dengan bijak dan menyelesaikan masalah dengan
tenang jika memiliki ilmu yang banyak.
Selanjutnya,
seseorang individu yang cemerlang perlu memiliki bakat kepimpinan yang tinggi.
Individu yang cemerlang bukan sahaja dapat memajukan diri dan keluarga tetapi
juga membantu anggota masyarakat dan negara. Misalnya seorang pengetua yang
berbakat dapat memajukan sekolahnya dengan cemerlang. Seorang majikan yang
berbakat pula dapat membimbing pekerjanya memajukan perniagaannya. Di samping
itu, individu yang cemerlang patut mempunyai kecergasan fizikal iaitu tubuh
badan yang sihat dan kuat. Individu yang memiliki badan yang cergas dapat
bertindak dengan pantas dan berfikir dengan cepat dan tenang kerana badan yang
cergas menjadikan otak kita cerdas.
Akhir
sekali, individu yang cemerlang juga sepatutnya mempunyai pegangan agama yang
mantap. Setiap agama mengajar pengikutnya melakukan kebaikan dan menjauhi
kejahatan. Agama juga akan membentuk sahsiah yang terpuji dalam kalangan
manusia. Jelaslah, individu yang cemerlang perlulah memiliki pelbagai ciri
positif yang boleh dicontohi dan diikuti oleh orang lain bagi membentuk
ciri-ciri modal insan seperti yang dikehendaki. Individu yang cemerlang akan
dihormati dalam masyarakat kerana mereka dapat memberi pelbagai sumbangan
kepada masyarakat dan negara.
2.4
Cara-cara
yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang
Menurut
Cikgu Tan (2010) pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara
kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian
tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk
merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu
menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang,
terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal
menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan
yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak
mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J.
Siegel berkata, “Manusia tidak meracang
untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang
terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan
insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut
Cikgu Tan (2010) lagi, untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa
memainkan peranan yang prioriti. Menurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang
akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab
dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih
dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain
menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu
menjadi role model atau suri teladan
kepada anak mereka dalam amalan membaca kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau
tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa
“melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa
tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu
kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng
yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal
ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan
besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak
mereka ke arah kecemerlangan akademik.
Bagaimanapun,
kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika
tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang
terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala
sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi
gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima
ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak
mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda
perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu.
Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat
melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa
hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang
menjelang wawasan 2020 (Cikgu Tan, 2010).
Menurut
Cikgu Tan (2010), untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan
kritis merupakan komponen yang signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk
melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum
sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan
statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah
mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah
kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki
tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan
praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu
menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik,
laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak
langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku
teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk
mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.
Sementelahan,
pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan
pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa?
Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin,
tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan
orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak
sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk
menonjolkan kepimpinan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah
dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Oleh hal yang demikian, bidang
kesusasteraan merupakan medium yang sangat berkesan dalam memberi pendidikan,
pengajaran, dan nilai yang baik dalam membuahkan masyarakat atau golongan belia
yang mempunyai modal insan yang berkualiti. Hakikatnya, sekolah merupakan medan
yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.
3.0
KESIMPULAN
Pembangunan
modal insan merupakan satu daripada teras utama pembangunan seperti yang
termaktub dalam Misi Nasional. Tumpuan yang lebih besar akan diberikan kepada
usaha membangunkan modal insan yang holistik yang dilengkapkan dengan
pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang utuh.
Memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada, disamping menambah nilai dari semasa
ke semasa dan ditambah pula denga sikap yang sentiasa positif dalam
melaksanakan amanah. Inilah strategi yang terbaik dalam membina minda kelas
pertama. Sifat keintegritian individu yang lebih akan memudahkan melaksanakan
tugas dengan tangkas, tepat dan menjamin keberhasilan yang berkualiti.
Di
sekolah, para guru membangunkan dan menerapkan silibus yang menekankan
nilai-nilai seperti patuh kepada peraturan, berkongsi dan bekerjasama dalam
konteks yang luas. Khususnya mata pelajaran Sastera. Setiap bahagian terlibat
dalam menghasilkan modal insan dengan minda kelas pertama iaitu ia bermula dari
ibubapa, pendidikan pra-sekolah, pengajian rendah, pengajian menengah dan
pengajian di institusi pengajian tinggi. Pihak kerajaan adalah tunggak bagi
memastikan bahawa sistem pendidikan negara dapat memenuhi ciri- ciri dalam
melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama. Dalam menuju ke arah
globalisasi ini, faktor menerapkan nilai-nilai keagamaan, kesasteraan dan
kebahasaan juga perlu dimasukkan dalam sistem pendidikan.
Kesimpulannya,
pembentukkan modal insan adalah amat penting bagi mewujudkan individu, masyarakat
dan negara yang baik, aman dan damai. Kearah ini , golongan pendidik memainkan
peranan yang utama bagi melahirkan pelajar yang mempunyai minda kelas pertama
dan ia memerlukan sokongan dari semua lapisan masyarakat tidak mengira agama
atau bangsa.
BIBLIOGRAFI
Aidit Ghazali. (2008). Modal Insan: Membentuk Asnaf Kelas Satu 1/2008, m/s:
6-7. Shah Alam:
Lembaga
Zakat Selangor.
Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman
(2003). Falsafah Pendidikan dan kurikulum,
m/s 30-35.
Kuala
Lumpur: Quantum Books.
Azhar Hj. Wahid dan Zawawi Jahya (2012).
Pendidikan Modal Insan. Tanjong
Malim: Penerbit
Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Arba’ie Sujud(2008). Sastera Melayu Suatu Pengantar. Kuala
Lumpur: Tinta Press Sdn Bhd.
Chua H.C (2012). Gerbang Sejarah PA
Cikgu Chua. Diperoleh pada Mac 30, 2014 daripada
Cikgu Tan (2010). Cara-cara yang
berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang. Diperoleh
Pada
30 Mac 2014 daripada http://twoohiok.wordpress.com/2010/11/20/cara-cara-yang-
berkesan-untuk-melahirkan-insan-yang-cemerlang/
Fauziah Mahmood (2008). Terapkan Pembangunan
Insan dikalangan Anak-Anak Asnaf, Asnaf
1/2008, m/s: 15. Shah Alam:
Lembaga Zakat Selangor.
Hailani Muji Tahir (2008). Akidah Asas Pembangunan Modal Insan, Asnaf 1/2008, m/s: 8-9.
Shah
Alam: Lembaga Zakat Selangor.
Harun Mat Piah et al. (2006). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa
dan
Pustaka.
Ismahdi Hj. Ismail (2008). Pendekatan Agama Perlu Dititikberatkan Dalam Modal Insan, Asnaf
1/2008,
m/s: 15. Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor.
Khairul Rizal Ramli (2006). Pengurusan
Modal Manusia Aspek Baru Pengurusan Organisasi.
Pemikir
Edisi Januari-Mac. Bil 43. Utusan Publication.
Mohd Sabri Mat Nor (2008). Latiohan: Wadah Asnaf Berdikari, Asnaf 1/2008,
m/s: 12-13. Shah
Alam:
Lembaga Zakat Selangor.
Mondy, R. W (2008). Human Resource Management, 10th edition. New Jersey: Pearson
Prentice
Hall.
Misran Rokimin dan Zubair Idris. Modal
Insan Melayu:Iktibar dari Persuratan. Dipetik pada Mac
26,
2014 daripada http://www.ukm.my/j-melayu/images/jurnal/9/artikel%204.pdf
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010), m/s 52-57.